Monday, 10 December 2012

Kek Pisang Marbel


Assalamualaikum...



Minggu lepas pergi ke Kuala Lumpur menziarahi dua orang anak 
teruna Cik Nah yang menuntut di UiTM Puncak Alam dan di UM.   
Kami takjadi nak tidur di hotel sebab peperiksaan SPM belum 
lagi selesai.  Suami Cik Nah pula bertugas sebagai Ketua Pengawas 
SPM.   Jadi kami balik jugalah memandangkan perjalanan jauh 
dari Kuala Lumpur ke Taiping....

     Haaa...bila dah berjalan jauh tu badan pun sakit-sakitlah...
masakpun jadi campak-campak saja.   

     Bila dah beberapa hari berehat, barulah teringin nak buat itu ini...
Ada pula atas meja beberapa biji pisang rastali yang dibeli beberapa 
hari lalu....Jadilah, sejuk-sejuk hujan begini makan apapun sedap.

     Dapat idea nak buat kek pisang.  Kek pisang ni Cik Nah olah 
sikit supaya rasa dan rupanya berlainan sikit daripada yang biasa 
kita makan.

     Kalau nak cuba, cubalah ya.  pasti tak mengecewakan.....

                  panas....baru keluar dari oven


BAHAN-BAHANNYA:

200 gm tepung naik sendiri (2 cawan)
3 biji telur gred A
150 gm pisang (Cik Nah guna pisang rastali 3 biji)
90 gm gula perang (hampir 1 cawan) nak manis boleh tambah
1/2 cawan minyak jagung @ minyak masak
2 sudu besar susu segar @ susu cair
secubit garam
sedikit esen pisang
sedikit serbuk koko
sedikit coklat rice (untuk hiasan)

CARA MEMBUATNYA:

1.  Panaskan oven 175 C kemudian lenserkan loyang pembakar 
     segi empat berukuran 8 inci. Tepung diayak dan ke tepikan.
2.. Di dalam satu bekas yang bersih dan kering, lecek pisang, 
     garam dan gula hingga hancur dan sebati. Kemudian putar 
     dengan mixer dengan kelajuan tinggi selama 2 minit.
3.  Selepas itu masukkan telur sebiji dan putar dengan kelajuan 
     maksimum selama 1 minit.  Masukkan telur sebiji lagi dan putar 
     lagi 1 minit.  Akhir sekali masukkan telur yang akhir dan putar 
     sehingga kembang dan pekat. (Agak-agak lah 6 hingga 7 minit)
4.  Kemudian, masukkan tepung, minyak jagung, susu cair dan 
     beberapa titis esen pisang.   Masukkan sedikit-sedikit secara 
     bergilir dan kaup balikkan dengan senduk kayu atau spatula.  
     Jangan angkat tinggi senduk kayu atau spatula kerana ini akan 
     membuang udara yang ada dalam adunan nanti kek kurang gebu   
     Jangan kacau terlalu lama, cukup sekadar sebati sahaja.
5.  Asingkan 2 senduk adunan dan campurkan dengan serbuk 
     koko dan sebatikan.
6.  Curahkan adunan yang selebihnya ke dalam loyang.  Kemudian, 
     masukkan adunan coklat tadi dan lorekkan dengan garpu.  Akhir 
     sekali taburkan coklat rice di atasnya.
7.  Bakar selama 40 minit atau hingga masak. (ikut kepanasan oven
     masing-masing).
8.  Bila masak cucuk di tengah kek dan pastikan tiada adunan yang 
     melekat.  Biarkan kek sejuk sedikit sebelum dikeluarkan dari 
     loyang untuk disejukkan di atas redai.  Bila sejuk barulah dipotong 
     dan dihidangkan.

     Selamat mencuba.
     
                                                      dapurciknah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment